Pas minat buat dialog, Dewan Perhimpunan Cina terbuka terima jemputan
Pas Pulau Pinang berminat untuk mengadakan dialog dengan Dewan Perhimpunan Cina negeri.
Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Dr Tan Khoon Hai, berkata pihaknya akan melihat lanjut cadangan tersebut selepas ini.
Menurutnya, organisasi itu mewakili masyarakat Tionghua tertua dan terbesar di Pulau Pinang sejak penubuhannya pada 1881.
Jelasnya, terdapat sejumlah 556 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawahnya ketika ini.
“Kami adalah pertubuhan yang mewakili kaum Cina terbesar di Pulau Pinang dengan terdapat 556 NGO kaum Cina bergabung bersama kira-kira 60,000 anggota secara individu.
“Kami merentasi parti politik.
“Jadi, kami terbuka kepada semua parti termasuk untuk adakan dialog, tiada masalah,” katanya, lapor BH.
Dia berkata demikian semasa ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Tarbiyah Pas Pulau Pinang, hari ini.
Khoon Hai berkata, Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang mengambil pendirian terbuka terhadap jemputan dialog dari mana-mana parti politik termasuk Pas.
Dialog itu, katanya, membincangkan isu yang memberi manfaat kepada masyarakat, terutama dalam aspek pendidikan dan ekonomi.
Mengulas kehadirannya di rumah terbuka anjuran Pas itu, Khoon Hai berkata, beliau julung kali menerima undangan demikian.
Sementara itu, Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim, berkata sesi dialog yang bakal dirancang itu diharap dapat mencari titik persamaan antara kedua-dua pihak dalam membabitkan penyertaan masyarakat berbilang kaum.
BACA JUGA Kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah, naik lebih 13 peratus mulai Disember ini