PM seru pekerja lawan pihak cuba melagakan, merendahkan darjat

Perdana Menteri mengajak golongan pekerja bangkit dan melawan mana-mana pihak yang sengaja cuba melaga-lagakan dan merendahkan darjat sesiapa saja.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan pihak terbabit yang menghina kaum, agama selain menafikan hak rakyat tidak perlu dilayan sama sekali.

“Saya mohon pengertian semua, hentikan kalau ada suara yang cuba melaga-lagakan kita, merendahkan darjat sesiapa, saudara bangkit dan melawan dengan sepenuh kekuatan.

“Jangan sesekali melayan sifat menghina mana-mana kaum, agama atau menafikan hak mereka.

“Tetapi itulah bibit yang memecahkan hubungan kita,” tegasnya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Lebih 3,000 orang terdiri daripada penjawat awam antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Bomba dan Penyelamat Malaysia dan jabatan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia menghadiri sambutan berkenaan.

Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini ialah ‘Pekerja Kesuma Bangsa’.

BACA JUGA Jualan McDonald’s terjejas ketika lebih 200 hari genosid berlangsung