SPRM mungkin panggil balik MB Perlis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan memanggil semula Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berhubung siasatan dakwaan kes salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata keputusan untuk memanggil semula Mohd Shukri atau sebaliknya, tertakluk kepada keperluan siasatan.

“Bergantung kepada hasil siasatan,” katanya ringkas, lapor BH.

Azam berkata demikian ketika ditanya kemungkinan SPRM akan memanggil semula Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis selepas ini.

Semalam, Shukri ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan salah guna kuasa.

Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Dia bagaimanapun, dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas hampir lapan jam diambil keterangan.

BACA JUGA Isu beri duit raya: ‘Jangan risau, Dr Dzulkefly tak tanya mengundi di mana’