‘Tidak ada modal lain kononnya sudah luluskan kasino di Johor’ – PMX

Perdana Menteri berkata, pihak yang mencetuskan isu kononnya kerajaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor sebagai ‘tiada modal lain’ kerana sengaja membuat fitnah sesuka hati.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pihak yang memfitnah itu harus dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihukum penjara.

“Tidak ada modal lain… kononnya Anwar sudah meluluskan kasino di Johor.

“Apa benda ini… tidak pernah saya dengar, tidak pernah orang usulkan dan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) tidak pernah memaklumkan kepada saya untuk ada kasino serta perjudian di sana.

“Jadi, (tohmahan) ini dari mana? Daripada penjahat-penjahat sebenarnya.

“Jadi, mereka ini sebenarnya (harus) ganti (masuk) bilik-bilik saya di (Penjara) Sungai Buloh,” ujarnya.

PMX berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Anwar menekankan bahawa tidak menjadi masalah jika ada pihak mahu mengkritik beliau, namun jangan kepada institusi Raja-Raja yang disanjung dan dimuliakan.

“Kritik tidak mengapa… kamu kritik Perdana Menteri tidak mengapa sebab saya boleh jawab… ini kamu kritik Raja-Raja yang kita sanjung dan muliakan serta ada dalam Perlembagaan.

“Kalau kita ada sistem raja, tidak boleh dijadikan macam orang politik, serang sesuka hati… tidak boleh kerana institusi raja itu ada caranya… cara bercakap lain, ada cara kaedah yang perlu kita hormati,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan jika ada pihak yang menyerang dan memfitnah institusi raja, maka ‘jawapannya’ ialah pendakwaan, hukuman serta penjara.

“Jadi, jangan marah saya konon saya tidak demokratik, keras dan kuku besi,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Jualan McDonald’s terjejas ketika lebih 200 hari genosid berlangsung