Apa beza kenaikan gaji penjawat awam pada 2007 dan 2024? Fahmi perjelas kekeliruan ramai

Selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang merupakan tertinggi dalam sejarah, muncul dakwaan mengatakan gaji penjawat awam pada 2007 dinaikkan lebih tinggi iaitu sehingga 35 peratus.

Menjelaskan dakwaan tersebut, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kenaikan gaji penjawat awam pada waktu itu sebenarnya hanya membabitkan kumpulan pelaksana dua di gred satu iaitu gred rendah. 

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, ketika itu, tangga gaji bagi kumpulan pelaksana dua yang berada di gred satu itu hanya sekitar RM800 sahaja.

“Bagi yang menyebarkan (kenaikan) 35 peratus pada 2007, ada dua perkara sangat penting. Mereka hanya baca tajuk sahaja, 35 peratus pada waktu itu merujuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dua gred satu.

“Waktu itu, gred satu pada 2007, pendapatan RM800 sebulan. Keadaan ekonomi jauh berbeza. Kalau nak diungkit, kena berlaku adil, konteksnya berbeza,” katanya kepada media.

Beliau berkata, kumpulan penjawat awam dalam kumpulan tertinggi ketika 2007 hanya menerima kenaikan gaji sekitar 7.5 peratus.

“Kalau nak dibandingkan itulah konteksnya, kenaikan 35 peratus (waktu itu) hanya 1/4 daripada cerita penuh.

“Angka disebut perdana menteri hari ini lebih tinggi daripada kali terakhir Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dikaji semula. Apapun bermula 1 Disember, penjawat awam dapat gaji lebih,” katanya.

BACA JUGA Selepas Chegu Bard, Papagomo pula didakwa pagi ini kes hina AgongÂ