Baki lebih 1,000 KIR miskin tegar di Kelantan akan dinoktahkan dua bulan lagi

Perdana Menteri akan menoktahkan baki lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar di Kelantan dalam tempoh dua bulan lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu menoktahkan kemiskinan tegar itu bagi membolehkan mereka mampu membeli makanan dan pakaian.

“Saya minta senarai termasuk dalam kategori miskin tegar dan lebih 1,000 KIR dalam kategori ini.

“Saya beri tempoh dua bulan untuk menoktahkan perkara ini.

“Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Datuk Azman Ibrahim) kata boleh selesai dalam masa dua bulan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di Kota Bharu, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Kerajaan, tegasnya, tidak mahu Kelantan ketinggalan dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor yang dapat menoktahkan kemiskinan tegar bulan ini.

“Saya juga tekankan keperluan untuk membina pusat perniagaan bagi tujuan itu (noktah miskin tegar),” kata Anwar lagi.

BACA JUGA MB Kelantan bangkitkan isu air, kemiskinan dalam pertemuan dengan PMX