Gagal ketepi hukuman 12 tahun, Siti Bainun kembali ke penjara

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan untuk menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13 dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

BACA JUGA Apa beza kenaikan gaji penjawat awam pada 2007 dan 2024? Fahmi perjelas kekeliruan ramai