‘Humban’ MP yang bantah kenaikan gaji dalam pilihan raya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana Ahli Parlimen yang membantah kenaikan gaji penjawat awam patut kena ‘humban’ dalam pilihan raya akan datang.
“Penjawat awam umumnya sambut dengan baik tetapi kita tak boleh halang beberapa kenyataan yang hambar, ada kata ini pengumuman Anwar untuk laksana 1 Disember, mana tahu kalau Parlimen tak luluskan.
“Saya nak tahu siapa, Ahli Parlimen mana yang nak bantah kenaikan ini, kalau betul dia bantah, kita humban dia dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Beliau memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkannya semalam, akan diluluskan di Parlimen dengan bergaya pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober ini.
Menurutnya, semua parti komponen dalam Kerajaan MADANI memberi sokongan penuh terhadap kenaikan terbabit supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Disember depan.
Sehubungan itu, beliau menasihati penjawat awam supaya tidak bimbang kerana kerajaan memiliki majoriti yang diperlukan dalam Parlimen.
Jelasnya, beliau juga ada mendengar kritikan hambar kononnya kenaikan terbabit bukan yang tertinggi sedangkan kerajaan sudah membuat perkiraan yang sewajarnya.
Katanya, beliau tidak mahu membuat pengumuman secara terperinci kerana perlu mengikut proses ditetapkan.
“Jadi, saya nak sebut sabar dulu, jangan sombong dan angkuh, jangan dengki, dia dengki kerana apabila ada pengumuman baik, orang sambut baik, dia mesti akan cuba berhujah untuk mencemuhkan.
“Saya nak beritahu saudara, kalau kita tengok perincian keputusan ini sebenarnya, bagi kategori rendah, kenaikan itu antara 20 hingga hampir mencecah 40 peratus bagi kebanyakan penjawat awam.
“Ini kenyataannya kerana sistem kita perlu lebih saksama, yang pangkat tinggi naik sikit, yang pangkat rendah naik banyak, ini baru namanya keadilan,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Pengampunan Najib: Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit betulkan fakta ditolak
Â