Pengampunan Najib: Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit betulkan fakta ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap permohonan dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri terbabit.

Ahmad Zahid Hamidi

Sebelum ini, pihak pembelaan Tengku Zafrul berkata, afidavit diikrarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus pengataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.

Menurutnya, ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Titah Adendum berkenaan adalah supaya Najib Razak menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah terbabit oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, 30 Januari lalu.

Zahid juga dipetik berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepada beliau salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Namun, Tengku Zafrul kemudian dilaporkan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang didakwa terkandung dalam afidavit difailkan Zahid itu.

BACA JUGA “Saya penat dah, pening”, tular pula isu hutang, calon PN mengelak soalan media?