Inisiatif subsidi tiket FLYsiswa diteruskan mulai hari ini

Kerajaan menyambung semula inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan pelajar institut pengajian tinggi awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan (FLYsiswa) bermula hari ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu melibatkan penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta penuntut kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

”Mereka yang layak boleh membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan iaitu di https://subsidiudara.mot.gov.my/

”Selepas semakan, penuntut terbabit boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan samada daripada Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia atau Batik Air melalui laman sesawang syarikat penerbangan tersebut.

”Sekiranya seseorang penuntut didapati tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing,” maklum MOT.

Dalam kenyataan sama, MOT berkata buat masa ini, pelajar yang layak hanya pelajar yang masih berdaftar di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru sehingga 31 Disember 2023 bagi fasa pertama.

“Manakala pelajar baru bagi sesi kemasukan 1 Januari sehingga 31 Mac 2024 akan dilaksanakan dalam fasa kedua mulai Julai 2024.

”Setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan,” jelas MOT lagi.

Kementerian itu menambah, sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.

Katanya, tempoh permohonan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah dari 2 Mei 2024 hingga 30 November 2024.

”Baucar tersebut boleh ditebus untuk pembelian tiket penerbangan sehingga 31 Disember 2024.

”Pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

”Bantuan ini adalah salah satu initiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” ujar kenyataan itu.

BACA JUGA Dah dapat naik gaji pun guru bergelar ustaz buat kenyataan hina PMX