Laporan penuh nahas helikopter TLDM, jawatankuasa penyiasat sedang buat sesuatu
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan siasatan akan mengambil masa 30 hari bekerja bagi mengetahui punca sebenar nahas helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak 23 April lalu.
Katanya, ketika ini pihak jawatankuasa penyiasat sedang melengkapkan laporan penuh insiden berkenaan dalam tempoh seperti yang ditetapkan pada sebelum ini.
“Seperti dikatakan (sebelum ini) laporan interim itu akan disiapkan dalam masa dua minggu, jadi kita tidak mahu buat andaian dan spekulasi.
“Siasatan itu akan mengambil masa 30 hari bekerja untuk kita tahu punca-punca (kejadian) yang sebenar,” katanya lapor Kosmo.
Dalam perkembangan sama, Khaled berkata, laporan interim tragedi yang mengorbankan 10 kru itu, dijangka siap pada minggu hadapan.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi maklumat tentang peratusan laporan yang telah berjaya disiapkan oleh pihak jawatankuasa berkenaan.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi 23 April lalu, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, dilaporkan bertembung di udara dan terhempas.
TLDM kemudiannya mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian itu yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
BACA JUGA Dah dapat naik gaji pun guru bergelar ustaz buat kenyataan hina PMX