Papagomo tak mengaku hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

Blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bekas Exco Pemuda Umno itu didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman X miliknya.

Mengikut pertuduhan, Papagomo didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi aplikasi X ‘Sir Azri’ di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini, jam 12 tengah hari, Isnin lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, dia tiba di mahkamah pagi ini dalam keadaan bergari.

BACA JUGA Gagal ketepi hukuman 12 tahun, Siti Bainun kembali ke penjara