Pemuda PN dikecam tak hormat azan, ‘penasihat’ berjanggut pun bagi lampu hijau

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dihujani kecaman orang ramai apabila meneruskan sidang media ketika azan sedang berkumandang.

Menerusi sedutan video tular, dia yang juga Ahli Parlimen Machang itu mulanya bertanyakan kepada rakan di sebelah kirinya sama ada perlu berhenti seketika.

Namun, ‘penasihat’ berjanggut itu kemudian memberi lampu hijau supaya Wan Ahmad Fayhsal meneruskan sidang media itu.

Turut hadir dalam sidang media semasa azan berkumandang itu ialah Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Muhammad Hilman Idham.

Untuk rekod, Hilman juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos tahun lalu dengan majoriti amat tipis 58 undi.

Rata-rata mengecam sikap Wan Ahmad Fayhsal itu selain membandingkan reaksi spontan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebelum ini yang tidak meneruskan sidang media semasa azan berkumandang.

“Lebai sebelah jargon tu izinkan bercakap masa azan ke? Malu wei. Orang DAP pun pandai hormat azan.

“Demi agama, bangsa dan negaralah sangat. Orang tengah azan pun tak hormat.

“Hari-hari maki DAP. Rupanya jargon lagi teruk dari DAP. Nama je ustaz yang sebelah tu.

“Tengah azan tu, berhentilah dulu,” demikian antara kata warganet.

BACA JUGA Ustaz mohon maaf: ‘Hanya bergurau tak sangka ada kawan-kawan tularkan’