“Saya penat dah, pening”, tular pula isu hutang, calon PN mengelak soalan media?

Tular video calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut yang didakwa enggan menjawab soalan media selepas beliau terpalit dakwaan mempunyai hutang.

Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu mengambil langkah selamat apabila mengelak daripada mengulas isu tersebut ketika ditanya pemberita selepas Ceramah Perdana PN di Batang Kali, malam tadi.

“Nak interview sikit,” tanya media.

“Tak boleh, tak boleh. Eh, bukan tak boleh tapi dah penat dah.

“Pening, pening. No komen, no komen. Terima kasih,” katanya dalam video berdurasi 31 saat yang tular.

Calon PN berkenaan dilapor memberi alasan perlu ke lokasi lain walaupun had waktu berkempen dalam setiap pilihan raya setakat jam 12 tengah malam.

No comment (tiada komen), terima kasih. Saya perlu ke lokasi lain,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu.

Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mempersoal kredibiliti calon PN kelahiran Felda Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Sejak hari penamaan calon PRK pada 27 April lalu, Khairul Azhari berdepan kontroversi apabila pelbagai pihak mempersoalkan kelayakan ijazah sarjana tanpa memiliki ijazah sarjana muda.

Rentetan itu, beliau menerusi hantaran di Facebook memuat naik sijil dan transkrip Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

BACA JUGA Malaysia terima pelaburan terbesar dari Microsoft lebih RM10 bilion