Semua jabatan, kementerian harus terima arahan tersebut – PM Anwar
Meskipun rang undang-undang (RUU) penubuhan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) hanya akan dibentangkan di Parlimen Julai ini, namun semua jabatan berkaitan sudah boleh memulakan tugas serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen sudah boleh meletakkan pegawainya dan bertugas dengan segera.
“Undang-undang (penubuhan MCBA) hanya akan dibentangkan pada Julai, tetapi pada 1 Mei (semalam) adalah bermula punca kuasa pada perkara berkenaan, bermakna dari Polis, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Imigresen sebagai punca kuasa.
“Oleh itu, semua jabatan dan kementerian harus menerima arahan ini iaitu meletakkan pegawai di sempadan utama sekarang dan melaksanakan tugas dengan Ketua Pengarah (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali yang mempunyai tugas besar untuk menjaga seluruh sempadan kita,” katanya dipetik BH.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua jabatan berkaitan perlu menerima arahan tersebut secara serius dan melaksanakannya dengan segera.
Jelas Anwar, MCBA merupakan agensi yang boleh menyelaraskan dan memastikan pelaksanaan kawalan keselamatan dengan baik dan licin, selain kelulusan kemasukan dapat disegerakan.
“Kawalan keselamatan dijaga dan segala kebocoran dan penyeludupan dihentikan. Ini tugas besar Hazani dan keluarga MCBA, saya percaya mereka dapat melaksanakan tugas sebaiknya,” ujar pemimpin itu lagi.
Pada 27 Mac lalu, MCBA dilapor akan beroperasi sepenuhnya selepas RUU Pindaan Akta-Akta Berbangkit yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini diluluskan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pengurusan MCBA ketika ini giat menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi tujuan penggubalan RUU berkenaan.
Beliau berkata, MCBA ketika ini turut menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi menggubal RUU MCBA yang turut dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Jun ini.
BACA JUGA Gagal ketepi hukuman 12 tahun, Siti Bainun kembali ke penjara
Â