2024 paling panas selepas 1998, 3 negeri ini dijangka hadapi bahang melampau

Fenomena El Nino atau cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka akan berterusan sehingga Julai.

Menurut maklumat dari Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, ada juga ramalan mengatakan tahun ini adalah yang paling panas selepas 1998.

Katanya, beberapa negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah mengalami cuaca yang lebih panas berbanding Kuala Lumpur dan negeri lain.

“Kalau ikut trend biasa berdasarkan laporan diterima, sepatutnya sudah mula beralih dan hujan akan datang, namun keadaan ini mungkin sebulan atau dua bulan lagi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan memantau perkara ini.

“Justeru, kita juga akan memantau dan berjaga-jaga tentang jerebu dalam negara dan rentas sempadan. Kita juga melihat beberapa kesan kebakaran membabitkan tanah gambut.

“Pada masa sama, kita bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan mungkin terpaksa membuat pembenihan awan sekiranya perlu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya ada menerima permintaan daripada Kelantan dan syarikat air untuk melakukan pembenihan awan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diputuskan oleh MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pembenihan awan tidak boleh dibuat suka-suka sebaliknya perlu memenuhi syarat tertentu. Malah kos juga adalah tinggi,” katanya.

BACA JUGA Ustaz mohon maaf: ‘Hanya bergurau tak sangka ada kawan-kawan tularkan’