Fahmi tekad rangka usaha lebih mapan jamin kebebasan media

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerima dengan hati terbuka mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media yang dilaporkan merosot.

Beliau berkata, kerajaan menyedari banyak yang perlu dimuhasabah dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan melawan fitnah serta penyebaran maklumat palsu.

Justeru katanya, beliau dan pasukan akan menghadam laporan yang diterbitkan dan merangka usaha-usaha yang lebih mapan ke depan bagi menjamin kebebasan media.

“Saya terima laporan NGO Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) ini dengan hati terbuka. 

“Banyak yang perlu dimuhasabah, dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan pada masa yang sama melawan fitnah serta sebaran maklumat palsu,” katanya dalam respon ringkas di laman X hari ini.

Terdahulu Malaysia dilaporkan berada di kedudukan 107 dalam Indeks Kebebasan Media menurut laporan yang disiarkan RSF.

Angka itu menyaksikan kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga berbanding di tempat 73 tahun lepas.

Menurut laporan itu, Malaysia memperoleh skor 52.07 mata.

Namun angka itu masih lagi tidak melepasi kedudukan terburuk yang pernah dicatatkan Malaysia pada tahun 2021 dan 2022.

Tempoh itu merupakan pentadbiran Perikatan Nasional yang menyaksikan Indeks Kebebasan Media berada di kedudukan 119 dan 113.

BACA JUGA Kebebasan Media: Malaysia di kedudukan 107, jauh lebih baik berbanding zaman PN

Â