Kita kalau nak ‘korek’ anak siapa masuk sekolah vernakular, dah lama kita buat

Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan menasihatkan pemimpin Perikatan Nasional untuk berhenti menggunakan modal sekolah vernakular pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.

Sany ketika dihubungi berkata, isu ini perlu dinokhtahkan kerana sistem pendidikan di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina mahupun Tamil dibenarkan di bawah akta pendidikan dan masih lagi mengikuti silibus ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional itu, beliau pada bila-bila masa boleh sahaja berbalas serangan dengan mencari tahu anak pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang bersekolah di sekolah vernakular.

Namun menurutnya ia tidak perlu diperbesarkan sampai ke tahap itu.

“Pada saya cukuplah kawan-kawan dalam PN. cukuplah.

“Saya pun tak nak sebut benda ini tapi ada pimpinan-pimpinan Pas yang belajar di sekolah vernakular. Sebab itu saya kata, kita di Malaysia ini cukuplah kita berpolitik sentimen perkauman 3R ini. Cukuplah.

“Kita kalau nak cari, kita boleh cari dalam kalangan pimpinan PN (siapa) yang hantar anak ke sekolah vernakular. Ramai…Tapi tak perlu lah. Saya rasa tak perlu kita besar-besarkan benda sebegini. Cari isu lain lah,” katanya ketika dihubungi Harapandaily.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempolitikkan latar belakang pendidikan calon Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.

Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebook mahukan isu calon PH yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan ‘berterusan’ hingga PRK 11 Mei ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mencabar Sock Tao menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya, memandangkan ia tidak dinyatakan dalam poster profil calon PH itu.

Sock Tao kemudian mendedahkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menunjukkan beliau mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran diambil.

Mengulas lanjut Sany berkata, perkara-perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan awam ini patut tidak lagi dimainkan dalam mana-mana kempen pilihan raya.

Ini kerana menurutnya, sejak Merdeka lagi semua kaum di negara ini mempunyai perjanjian dan kesepakatan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini namun tidak menghalang mana-mana individu menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pendidikan.

“Nak jadi orang politik ni biarlah jadi orang politik yang bermaruah. Isu-isu yang kita sepakati bersama ini, tak perlu nak diungkit semula.

“Sampai bila kita nak menagih, nak mencari sokongan sampai terpaksa bermain dengan isu-isu sebegini?,” kata Sany lagi.

BACA JUGA Ini senarai kempen PN di KKB selama seminggu, semuanya isu kedai kopi