Lepas ini jemaah haji di Kelantan boleh terbang terus dari LTSIP ke Makkah

Jemaah haji di Kelantan selepas ini boleh menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu untuk terbang terus ke Makkah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menambah landasan LTSIP sejauh 400 meter (m) lagi.

Menurutnya, penambahan landasan itu merupakan permintaan dari kerajaan kegeri Kelantan agar LTSIP boleh menjadi landasan antarabangsa sekaligus memudahkan jemaah haji di Kelantan selepas ini.

“Fasa satu sudah siap dan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud ucap terima kasih tapi beliau minta tambah lagi landasan sepanjang 400 meter untuk menjadikan Kelantan sebagai lapangan terbang antarabangsa.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menambah landasan tersebut dan kita akan laksanakan secepat mungkin supaya jemaah haji akan terbang terus dari Kota Bharu ke Jeddah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tambah Anwar, beliau akan meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook untuk menyegerakan pembinaan LTSIP yang sedang dilakukan ketika ini.

Petang semalam, Anwar sempat meluangkan masa hampir 30 minit untuk meninjau fasiliti dan kemudahan yang disediakan di terminal baharu LTSIP fasa satu yang mula beroperasi semalam.

Pengoperasian fasa satu terminal itu mampu menampung 1.5 juta penumpang manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka dapat menampung empat juta penumpang.

Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, parkir kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta.

BACA JUGA Peniaga tak sangka boleh jana RM15,000 sebulan jual makanan di mesin layan diri

Â