Peniaga tak sangka boleh jana RM15,000 sebulan jual makanan di mesin layan diri
Sepasang suami isteri meluahkan rasa syukur selepas keputusan mereka menjual makanan melalui mesin layan diri, membuahkan hasil yang cukup lumayan.
Jika dahulu pasangan ini hanya berniaga makanan dari rumah dengan pendapatan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, namun kini mereka boleh tersenyum lebar dengan pendapatan yang melonjak lima kali ganda.
Amin Afifi Yaakob, 36, dan isteri, Yufaeza Yussof, 30, mengakui tidak menyangka mesin dibekalkan melalui IPR di bawah kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) sejak Oktober tahun lalu, membantu mereka sehingga mampu meraih pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.
“Saya sebelum ini berniaga pelbagai jenis makanan termasuk kek dari rumah dengan jualan dibuat menerusi laman sosial.
“Apabila mengetahui mengenai IPR menerusi Facebook, saya terus mendaftar sebelum dimaklumkan saya berjaya menyertainya menerusi bantuan mesin layan diri.
“Kami dapat mesin pada September 2023 dan mula berniaga menggunakannya bermula Oktober di kafeteria di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh. Alhamdulillah, sambutan diterima sangat menggalakkan,” katanya menurut Bernama.
Amin Afifi yang tinggal di Bukit Mertajam berkata, sebanyak 60 hingga 70 peratus makanan dihantar ke mesin layan diri itu adalah hasil air tangan dia dan isteri.
Manakala selebihnya daripada vendor yang membekalkan makanan seperti burger, roti john dan piza kerana mahu berkongsi rezeki dengan mereka.
Lapor Beenama lagi, setiap bulan juga dia boleh menjual hingga lebih 5,000 kuantiti pelbagai jenis makanan pada harga RM1 hingga RM8.
Bapa kepada dua anak lelaki berusia tiga dan enam tahun itu berkata, dia bersama isteri menyediakan pelbagai menu pada mesin layan diri bagi memberi pilihan kepada pelajar di situ untuk mendapat makanan yang variasi.
Katanya, makanan disediakan juga mengikut menu terkini dan pilihan pelajar termasuk nasi lemak, ayam goreng Korea, ayam goreng keju, ‘chicken cop’, spageti, kekacang, tortilla, sandwic dan pelbagai lagi.
“Nasi lemak dengan lauk telur, nuget dan sosej serta nasi lemak lauk ayam yang dijual dengan harga RM3 dan RM4 adalah menu yang sering habis awal di mesin layan diri itu, malah ia makanan yang diletakkan setiap hari di situ berbanding menu lain yang saya letak secara berselang-seli,” katanya.
IPR dilancarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Februari tahun lalu bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.
Menerusi inisiatif INSAN, penerima diberikan mesin layan diri di tempat terpilih serta kos sewaan bulanan dianggarkan antara RM600 hingga RM800 ditanggung sepenuhnya kerajaan selama dua tahun.
BACA JUGA Baki lebih 1,000 KIR miskin tegar di Kelantan akan dinoktahkan dua bulan lagi
Â