Bomba kongsi keadaan terkini kapten dan jurulatih pesawat terhempas

Selepas negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan terhempas di sebuah ladang dekat Sungkai, Tanjung Malim,  pihak bomba tampil mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan terkini dua mangsa nahas pesawat tersebut.

Menurut makluman pihak bomba, jurulatih penerbangan dilaporkan patah paha kiri, manakala pelatih wanita cedera di muka.

Dua individu di dalam kapal terbang CESSNA 172 itu dikenali sebagai Kapten Shahrul Imran, 30-an, dan pelatih, Le Ho Jia, 20-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi.

“Makluman awal diterima memaklumkan sebuah kapal terbang jatuh berdekatan Ladang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Sungkai.

“Kedua-dua mangsa mangsa dijumpai di mana jurulatih penerbangan lelaki mengalami patah paha kiri, manakala seorang pelatih wanita cedera di bahagian muka.

“Kerja pemindahan mangsa ke jalan besar dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Terdahulu, tular video berdurasi 19 saat memaparkan orang awam menemui sebuah kapal terbang terjatuh di dalam kawasan ladang.

Video berkenaan menunjukkan mangsa wanita yang dalam keadaan muka membengkak meminta pertolongan bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa iaitu jurulatih penerbangan.

BACA JUGA “Tolong saya…”, lelaki sempat rakam wanita minta tolong selepas pesawat terhempas