“Tolong saya…”, lelaki sempat rakam wanita minta tolong selepas pesawat terhempas

Sebuah pesawat ringan bagi tujuan latihan dilaporkan terhempas di kawasan ladang dekat Sungkai, Tanjung Malim hari ini.

Menerusi rakaman tular di media sosial yang dimuat naik individu bernama Shah Sungkei, dia dikatakan kebetulan berada di lokasi nahas tersebut sebelum terdengar suara seorang wanita meminta tolong.

Dalam rakaman itu terlihat sebahagian badan pesawat terbenam ke dalam tanah dengan sebahagiannya gancur.

“Ada kapal terbang terhempas. Allahuakbar,” kata lelaki yang merakam nahas itu.

Dia kemudian mendekati pesawat tersebut sebelum terkejut mendengar suara seorang wanita yang menjerit memanggilnya meminta tolong.

Menerusi video tular berdurasi 15 saat itu, pemandu pesawat tersebut turut merayu menyelamatkan seorang lagi rakannya tersangkut di dalam pesawat berkenaan.

“Tolong, tolong saya boleh ke, terima kasih banyak-banyak, seorang tersangkut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian itu.

“Setakat ini dua mangsa terlibat dan kedua-duanya selamat,” katanya.

Dua individu dilaporkan berada di dalam pesawat jenis Cessna 172 itu adalah jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran berusia 30-an dan pelatih, Le Ho Jia berusia 20-an.

BACA JUGA Training aircraft crashed in Sungkai, police confirms