Didakwa beri duit raya kepada pengundi KKB, Dr Dzulkefly tampil buka mulut

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tampil menjelaskan dakwaan bahawa beliau mengedarkan sampul duit raya yang tertera gambar beliau kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.

Kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu, dia tidak kisah disiasat kerana pada waktu itu baru semua tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Ini kerana menurutnya, pemberian duit raya itu telah dilakukan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Siasatlah apa nak siasat pun. Tidak mengapa…Mereka akan tahu apa yang sebenarnya,” kata beliau kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) semalam.

Jelas beliau, pemberian duit raya merupakan amalannya sewaktu menyantuni kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pesakit di wad dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pilihan raya.

“Ke mana saya pergi buat lawatan ke hospital untuk menyantuni kakitangan dan pesakit, saya bagi duit raya.

“Ia secara peribadi daripada saya. Tidak terkait dengan pilihan raya.

“Awak nak kata apa pun itulah. Saya bukan hendak cari populariti,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu sidang media menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat Dr Dzulkefly kerana didakwa memberi sampul kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.

BACA JUGA Fahmi tekad rangka usaha lebih mapan jamin kebebasan media