Kecoh subsidi minyak didakwa bakal dipotong, ini cerita sebenar dari menteri

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sebuah akhbar Singapura mendahului kerajaan Malaysia dengan mendakwa Putrajaya akan memulakan pemotongan subsidi bahan api bulan depan.

Media asing itu mendakwa diesel menjadi bahan pertama yang diapungkan harga mengikut kadar pasaran sebelum disusuli harga runcit petrol yang dikatakan akan dinaikkan secara berperingkat.

Susulan khabar yang tersebar itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil tampil menafikan laporan yang diterbitkan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri tidak langsung membincangkan perkara itu sebelum ini termasuk pada minggu lepas.

“Saya meneliti perkara itu dan saya boleh mengesahkan di sini saya ahli Jemaah Menteri, kita tidak bincang perkara ini pun. 

“Jadi, don’t put the cart before the horse atau jangan umum sesuatu perkara itu sebelum ia diumumkan.

“Kita lihat ada beberapa akhbar yang berpangkalan di luar negara telah mendahului proses dan saya harap semua pihak termasuk media mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi,” katanya ketika berucap pada Program Jiwa Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua media agar tidak membuat laporan berita bersandarkan maklumat daripada sumber yang tidak dapat disahkan atau tidak dikenal pasti.

BACA JUGA “Tolong saya…”, lelaki sempat rakam wanita minta tolong selepas pesawat terhempas