Kenaikan gaji penjawat awam: Ini respon padu Anwar buat MP yang menentang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak lupa siapa yang berhempas pulas memastikan negara kekal aman, jika bukan kerana usaha penjawat awam di negara ini.

Memberi contoh anggota beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain polis dan tentera dalam konteks itu, Anwar berkata peranan dimainkan mereka itu tidak sewajarnya dilupakan.

“Saya ingin ingatkan bukan sahaja kepada pasukan (keselamatan dan beruniform), tetapi kepada masyarakat umumnya yang kadang-kadang berleter, mengeluh dan pertikai beberapa keputusan bila kita hendak berikan tambahan upah, gaji dan pengiktirafan kepada perkhidmatan dan penjawat awam khususnya dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Dia lupa negara ini aman, selamat daripada kebakaran, selamat daripada tanah runtuh… semuanya kerana perkhidmatan dan pengorbanan (JBPM). 

“Kita lupa negara ini aman, selamat kerana yang mengawal itu tentera, polis, bomba,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024) Peringkat Kebangsaan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembangunan ekonomi dan pengiktirafan negara luar yang membuat pelaburan di negara ini tidak akan dapat diperoleh jika negara tidak aman.

Ini termasuklah pelaburan RM10.5 bilion yang diumumkan sendiri oleh Microsoft dua hari lalu, kata Anwar.

Anwar dalam pada itu mengulangi gesaan agar rakyat menolak pemimpin khususnya daripada kalangan ahli Parlimen yang mengkritik, bahkan menentang keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam tanpa alasan munasabah.

“Saya tahu ada yang mengkritik daripada kalangan ahli Parlimen yang menyatakan mungkin kenaikan itu tidak akan diluluskan (menerusi persidangan Parlimen). Saya nak tengok muka mana yang nak menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam.

“Kalau ada orang yang berani menentang ini tanpa alasan munasabah, kita humbankan mereka dalam pilihan raya akan datang… yang kita lakukan ini (kenaikan) walaupun ekonominya tidak begitu baik, tetapi sekarang sedang berkembang.

“Ekonomi malap kadang-kadang adalah kerana pemimpin menyakau, hutang berlonggok-longgok, kontrak yang patut RM200 juta jadi RM250 juta. (Jadi) pasal apa nak bebankan keluarga bomba… itu masalah yang saya warisi dan saya kena selesaikan,” katanya.

Kata Perdana menteri lagi, kadar lebih 13 peratus peningkatan gaji penjawat awam yang diumumkan sebelum ini hanya secara menyeluruh, namun peningkatannya akan menyaksikan kadar yang lebih daripada itu mencecah 30 peratus kenaikan bagi mengurangkan jurang gaji antara pegawai serta kakitangan peringkat bawah.

BACA JUGA Didakwa beri duit raya kepada pengundi KKB, Dr Dzulkefly tampil buka mulut