‘Depa mewarisi sifat syaitan’ – Ini luahan hati Sanusi

Tiga kali Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggelar segelintir pihak yang mempersendakan permohonan maafnya pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di Jitra, malam tadi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri itu menyifatkan netizen yang gemar mengkritik kebaikan yang dilakukan orang lain sebenarnya mewarisi sifat syaitan.

Beliau menegaskan bahawa permohonan maafnya jika ada memberi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks hubungan sesama manusia (hablumminannas) itu adalah ikhlas dari lubuk hatinya sebagai manusia biasa.

“Kalau jumpa di mana-mana pun, orang lebih tua pada saya, macam itulah gaya saya.

“Saya bukan berlakon, saya jadi diri saya yang sebenar. Saya nampak komen-komen di media sosial, baik pun salah, tak baik pun salah. Jadi, depa semua itu syaitan.

“Kalau kita berbuat baik sesama umat manusia pun tidak disukai, itu kerja syaitan.

“Bila orang sakit hati tengok satu benda baik, dia mewarisi sifat-sifat syaitan.

“Jadi, berhentilah jadi syaitan, jadilah manusia,” katanya kepada media.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata demikian selepas Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan kepada Pusat Mempelam Kedah di Yan, Kedah, hari ini.

Terdahulu,tular karikatur beliau tunduk memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dialog ‘Mohon maaf ler, mulut saya memang kurang ajaq, Kelantan dah dapat, Kedah bila lagi?’

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah berkata, sebagai umat Nabi Muhammad SAW pada akhir zaman, umat Islam perlu melakukan sebanyak mungkin kebaikan, perkara yang baik patut disuburkan dan memohon maaf itu menandakan seseorang itu berjiwa besar.

“Saya minta maaf zahir dan batin, sama ada dari segi adat dan budaya, tetamu mai (datang) tempat kita, tentulah kita kena hormat tetamu, itu wajib Nabi kata, ada hadisnya.

“Jadi, beramal dengan hadis, beramal dengan panduan-panduan Islam itu wajib, apa yang sakit hati sangat?” katanya.

Malam tadi, Sanusi mengambil kesempatan memohon maaf di hadapan Anwar dan beberapa menteri Kabinet pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah.

Sanusi antara lain berkata, beliau adalah manusia biasa yang tidak maksum dan permohonan maaf itu dibuat bagi pihak dirinya dan kerajaan negeri selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik.

Pemimpin Pas tersebut juga menyifatkan, sebagai insan yang lemah, ketelanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri masing-masing.

BACA JUGA PN anggap kenaikan gaji berita buruk kepada pengundi Kuala Kubu Baharu