Polis terima maklumat daripada orang awam, Faisal belum buat laporan polis

Polis Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, cedera disimbah cecair dipercayai asid.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata maklumat itu diterima melalui panggilan kecemasan 999 pada jam 5.52 petang tadi.

Menurutnya, mangsa dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital di Petaling Jaya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Faisal yang dikenali dengan Mickey setakat ini belum membuat laporan polis rasmi berhubung kes mengejutkan itu.

Terdahulu,tular gambar Faisal disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara di ibu negara hari ini.

Mangsa tahun lalu dinobatkan sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia.

Insiden tersebut berlaku selepas tidak sampai seminggu insiden seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid, disamun di Terengganu.

BACA JUGA Selepas kes samun, giliran Faisal Halim pula jadi mangsa simbah asid