Bantu pasangan muda, ini 3 cadangan wujudkan pusat asuhan anak mampu milik

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menyifatkan masalah kekurangan pusat jagaan mampu milik dan berkualiti di negara ini, harus diberikan perhatian segera bagi meringankan beban pasangan muda.

Beliau berkata, di sesetengah kawasan bandar, yuran bagi seorang anak di pusat swasta melebihi RM1,000 sebulan dan kos berkenaan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

”Tatkala ramai dihimpit beban hutang yang tinggi dan gaji yang tidak cukup, kos ini sangat membelenggu urusan kewangan rakyat.

”Kekurangan pusat jagaan atau asuhan anak yang murah tetapi berdaftar dan berkualiti, adalah masalah besar yang membelenggu ibu bapa terutama bagi pasangan muda.

”Isu tersebut adalah sesuatu yang serius dan solusi holistik harus dicari,” seru Faiz dalam kenyataan, hari ini.

Justeru dalam kenyataan sama, beliau turut memberikan beberapa cadangan berkaitan masalah berkenaan.

Beliau berkata, cadangan pertama adalah kerajaan pusat dan negeri membuka lebih banyak pusat jagaan kos rendah terutamanya di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

Menurut Faiz, pada ketika ini, terdapat taska KEMAS yang disediakan Kerajaan Persekutuan, namun bilangannya tidak memadai.

”Daripada 490 taska KEMAS pada tahun 2016 kepada 519 sekarang ini, ia bermaksud bilangan itu hanya bertambah tiga hingga empat taska setahun secara purata di seluruh negara.

”Bukan itu sahaja, taska KEMAS juga hanya mengasuh anak-anak dua hingga empat tahun, dan kemudiannya empat hingga enam tahun di tadika KEMAS.

”Ini menyebabkan tidak ada pusat jagaan untuk bayi sehingga umur dua tahun dan ibu bapa akhirnya terpaksa menghantar ke pusat jagaan tidak berdaftar untuk mengelakkan kos yang tinggi,” ujar beliau.

Cadangan kedua pula kata Faiz adalah agar memperkenalkan satu mekanisme baharu di mana kerajaan pusat dan negeri bekerjasama dengan pusat jagaan swasta untuk mengurangkan beban ibu bapa terutamanya pasangan muda.

”Bagi keluarga berpendapatan rendah, kerajaan pusat dan negeri mungkin boleh membayar sebahagian yuran bulanan bagi setiap anak yang dihantar ke pusat jagaan.

”Yang ketiga dicadangkan juga pelaksanaan konsep Build, Operate & Transfer, di mana pihak swasta akan membina dan menjaga operasi pusat jagaan dan kerajaan akan membayar kos tahunan sehingga pada satu ketika nanti, hak milik pusat jagaan tersebut akan berpindah kepada kerajaan.

”Pada masa yang sama, isu sekolah padat dan kekurangan sekolah kebangsaan harus diberi tumpuan segera.

”Semakin banyak sekolah yang terpaksa menambah bilangan kelas di mana satu kelas mempunyai 45 hingga 50 pelajar.

”Trend ini adalah tidak sihat kerana ia merencatkan tumpuan pelajar di dalam bilik darjah dan meningkatkan tekanan kerja guru,” katanya lagi.

Justeru, Faiz yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menyifatkan, Malaysia memerlukan solusi komprehensif bagi menyelesaikan isu jagaan kanak-kanak dan pemantapan kualiti sekolah kebangsaan.

Katanya, perkara itu adalah isu generasi akan datang dan mesti diutamakan untuk membina masyarakat Madani masa hadapan yang akan memimpin dan membangunkan negara.

BACA JUGA Lelaki simbah asid direman hari ini

Â