Calon muda Perpaduan di KKB di mata MB Selangor
”Berkaliber, berkemampuan dan berkelayakan serta boleh membantu membangunkan kawasan Kuala Kubu Baharu dan sekitar.”
Itu gambaran yang diberikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Menteri Besar terhadap calon Perpaduan, Pang Sock Tao.
Sock Tao yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan akan berentap dalam persaingan empat penjuru melibatkan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN); Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak menyifatkan, wanita tersebut merupakan seorang anak muda yang penuh bertenaga dan berani.
Selain itu, beliau berkata Sock Tao juga sesuai untuk meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong bagi membangunkan Kuala Kubu Baharu.
”Tidak ketinggalan, beliau juga menjaga kebajikan rakyat dalam program-program Iltizam Selangor Penyayang.
”Justeru pada 11 Mei nanti, jangan ragu-ragu untuk memberikan sokongan kepada beliau yang mewakili PH di Kuala Kubu Baharu,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebooknya.
Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.
Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi.
Beliau mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).
BACA JUGA PRK KKB: Mengapa perlu menangkan calon Perpaduan?
Â