Lagi 16 syahid, Israel terus bedil Gaza ketika rundingan gencatan senjata
Kejahatan Israel terus menyaksikan sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin syahid akibat serangan tentera Zionis di selatan Semenanjung Gaza.
Pengeboman itu berlaku beberapa jam selepas Hamas mengaku melancarkan roket yang membunuh tiga tentera Israel semalam.
Menurut petugas perubatan dan pasukan bantuan kecemasan, tujuh syuhada dari satu keluarga dan sembilan yang lain juga terbunuh.
“Ada dua bedilan berlaku di dua tempat berbeza di bandar ini,” lapor AFP memetik kenyataan petugas bantuan kecemasan.
Sementara itu, perkongsian menerusi Telegram MyAqsa Defenders menyaksikan jet pembunuh milik rejim Zionis Israel telah melakukan sekurang-kurangnya 10 serangan udara di beberapa lokasi di sekitar Rafah malam tadi.
Serangan udara terbaru dilihat menyasarkan utara Rafah – satu-satunya bandar utama di Gaza yang masih belum diserang rejim Zionis dari darat.
Pesawat serta kereta kebal Zionis Israel terus melancarkan genosid di Palestin ketika rundingan gencatan senjata terbaharu sedang berjalan.
Dalam masa sama, ribuan rakyat Israel semalam menuntut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas untuk membolehkan baki tebusan dibawa pulang.
Angka korban genosid dilakukan Israel terus meningkat dengan sudah melebihi 34,600 rakyat Palestin, demikian menurut data Kementerian Kesihatan Gaza.
Seramai 78,018 pula cedera setakat semalam yang telah memasuki hari ke-212 keganasan zionis.
Pengeboman berterusan tentera zionis memusnahkan sebahagian besar kawasan pesisir pantai Gaza sekaligus mencetuskan krisis kemanusiaan dan kelaparan.
BACA JUGA Alamak, ini rupanya sebab ada segelintir penjawat awam makin gelisah
Â