‘Lagi tinggi jawatan dia, lagi teruk dia kena’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga Jabatan Imigresen (JIM) perlu mengambil teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Menurutnya, beliau sedar ada sekelompok kecil dalam pasukan Imigresen yang melakukan kesilapan, namun menegaskan ia tidak mewakili keseluruhan jabatan itu.

Mengambil contoh peningkatan jumlah pelancong ke dalam negara dalam tempoh beberapa bulan, Anwar berkata jika kerajaan tidak cekap mengendalikan situasi itu, ia adalah masalah bagi negara.

“Jadi, sebab itu saya kadang-kadang menegur dan menggesa, lagi tinggi jawatan dia.. ketua pengarah, lagi teruk dia kena.

“Saya pun kena juga sebab bila orang tengok perdana menteri bercakap soal reform, kecekapan, tapi bila datang ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), kena tunggu dua jam, jadi saya anggap ini sebagai cabaran,” katanya.

Anwar berkata demikian Ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Sambutan Hari raya Aidilfitri Madani Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini.

Turut hadir isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Ruslin.

Dalam masa sama, Anwar berkata beliau bersama barisan jemaah menteri sentiasa berusaha membersihkan dan menyelamatkan negara walaupun sering dikritrik oleh pihak-pihak tertentu.

“Jadi, saya nak saudara-saudara faham ini, jangan tengok saya asyik marah – tidak.

“Bukan maksud kita, tapi kita nak perbaiki.

“Saya anggap kami (Jemaah Menteri) sebagai satu pasukan walau parti lain-lain, ada UMNO, DAP, PKR, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, tapi saya tak fikir mereka mewakili parti-parti di luar… tetapi dalam kerajaan.. kita satu pasukan,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Calon muda Perpaduan di KKB di mata MB Selangor