Lepas tengok menu Program Madani Rakyat, kenapa Rafizi ‘skip’ makan?

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli secara berseloroh memberitahu tidak jadi makan semasa Program Madani Rakyat Zon Utara semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR turut berkongsi senarai menu lengkap dengan nilai kalori bagi setiap makanan dan minuman yang disediakan.

“Lepas tengok menu macam ni, skip terus makan. Confirm selera pun takut.

“Menu macam ni patut digalakkan,” katanya di platform X diakhiri dengan emoji ketawa.

Menerusi maklumat pada menu itu, tertera jumlah kalori bagi 5 cucuk sate ayam berserta kuah kacang sahaja sudah berjumlah 300 kilo kalori (kcal).

Sementara itu, sebanyak 320 kcal masuk dalam tubuh dengan pengambilan 2 senduk char kuetiau bersamaan 170g.

Bagi semangkuk laksa (250g) dan tiga senduk mi sotong pata (150g) masing-masing mengandungi 240 kcal.

Untuk rekod, kerajaan menyarankan pengambilan kalori untuk lelaki dewasa di antara 1,800 hingga 2,000 kilo kalori (kcal) manakala wanita dewasa di antara 1,550 hingga 1,700 kcal sehari.

Rata-rata memuji langkah menyenaraikan jumlah kalori bagi setiap bahan makanan itu dan meminta semua kementerian dan jabatan kerajaan turut berbuat demikian dalam acara rasmi selepas ini.

“Makan sambil kira kalori.

“Idea bagus untuk mendidik masyarakat jaga kesihatan tapi lebih bagus jaga BMI (Jisim Indeks Tubuh). Kurang penyakit, lebih produktif. Madani👍,” demikian antara komentar netizen.

Dalam masa sama, ada yang menegur agar kesilapan ejaan termasuk huruf besar dan kecil tidak konsisten diberi perhatian dalam program rasmi kerajaan selepas ini.

“Tak molek untuk majlis anjuran kerajaan.

“Banyak sangat typo ni untuk majlis kerajaan. Tidak sepatutnya terjadi,” kata warga maya lagi.

Semalam, lebih 200,000 pengunjung menghadiri Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, George Town melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu lebih 100,000 pengunjung.

Program yang berlangsung selama tiga hari sejak 3 Mei itu mencapai matlamatnya dalam menyebarkan maklumat setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

BACA JUGA Melecur tahap dua – Ini keadaan pemain bola sepak kebangsaan