‘Pilih satu kampung siap-siap’ – Ini arahan PM Anwar kepada pegawai kanan kerajaan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pegawai kanan kerajaan mengenal pasti nama kampung yang akan mereka santuni bagi tujuan penyelarasan bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan.
Beliau menyarankan ketua jabatan memilih kampung asal masing-masing dengan mereka perlu mengadakan pertemuan khusus dalam tempoh tertentu bersama seluruh segmen dan pertubuhan yang wujud di kampung itu.
“Kita perkenal satu kaedah… boleh tak kita tugaskan setiap orang (pegawai kanan kerajaan), ambil kampung asal, lihat semua aspek dalam sesebuah kampung, meliputi jawatankuasa masjid, belia, berapa orang yang betul-betul miskin tegar.
“Berapa orang yang keciciran sekolah, OKU, terlibat dalam dadah dan berapa orang yang mengalami masalah mental,” katanya sebentar tadi.
Beliau berkata demikian dalam Perjumpaan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Mei 2024 di Dewan Puspanitapuri, Putrajaya pagi ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan pegawai kanan kerajaan turun ke kampung itu sebagai anak kampung yang bertanyakan khabar orang kampung.
Namun, beliau yakin dengan kedudukan dan jawatan masing-masing dalam kerajaan, pendekatan turun bertemu dengan orang kampung itu akan dapat menyelesaikan banyak masalah penduduk setempat.
“Kalau seorang datuk bandar, pergi sebagai anak kampung, kalau ada masalah, dia tulis, contohnya kepada jabatan Pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar memberi tempoh seminggu untuk semua Menteri dan pegawai kanan kerajaan mengenal pasti dan memuktamadkan pemilihan sebuah kampung terbabit.
“Ketua jabatan pilih satu kampung siap-siap. Minggu depan, pilih satu nama kampung.
“Dalam kesibukan kita, kenal pasti satu kampung sebaiknya kampung asal, berapa puluh persatuan ada di kampung, kita selaraskan kegiatan, bantuan,” katanya.
Anwar turut memberitahu, beliau sendiri telah cuba berbuat demikian dengan mengadakan pertemuan bersama pemimpin masyarakat Cherok Tok Kun di Seberang Jaya pagi semalam.
“ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) akan sediakan SOP (prosedur operasi standard) kaedah pertemuan.
“Kalau ada 10,000 pegawai kanan, kita telah berurusan dengan 10,00 kampung.
“Kita selaraskan bantuan. Bukanlah maksud turun setiap minggu, dalam tempoh 3, 4 bulan sekali, adakan pertemuan khusus.
“Contohnya, Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri). Walaupun pergi sebagai orang kampung, dia tanya (apa masalah)… cukup berkesan (untuk program bantuan),” kata Perdana Menteri lagi.
Semalam, Anwar mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama kira-kira 100 pemimpin di kawasan Cherok Tok Kun di sebelah pagi sebelum menghadiri Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara & Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang.
BACA JUGA Lepas tengok menu Program Madani Rakyat, kenapa Rafizi ‘skip’ makan?
Â