Terima panggilan telefon individu tidak dikenali, ini tindakan dua ahli pengurusan Selangor FC

Bimbang tentang keselamatan diri dan menjadi sasaran, dua ahli pengurusan Selangor FC membuat laporan polis di Shah Alam.

Menurut sumber memetik Harian Metro, laporan itu dibuat selepas mereka menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

“Ada terima, laporan dibuat di Shah Alam untuk keselamatan diri saja,” katanya.

Semalam, bintang Selangor FC, Faisal Halim diserang individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami kecederaan akibat disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Damansara.

Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu kini difahamkan telah selamat menjalani pembedahan peringkat pertama di sebuah hospital di Shah Alam.

Polis turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan, dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia dalam lingkungan 20-an.

“Suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Motif serangan juga masih dalam siasatan,” ujar beliau.

BACA JUGA Lelaki simbah asid direman hari ini