Di hadapan  2,000 ulama dan cendekiawan, ucapan PMX ini mengesankan

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin pelbagai agama untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memperjuangkan keadilan.

Perdana Menteri berkata, sama ada Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan pelbagai lagi agama yang lain adalah bertanggungjawab dalam memastikan keadilan ditegakkan.

“Pemimpin-pemimpin agama ambil tempat anda dan (jadi) lebih efektif.

“Galakkan pandangan anda kepada pengikut masing-masing. Anda mungkin Muslim, Buddha, Hindu atau Kristian, (namun) keadilan adalah keadilan.

“Tiada dalam mana-mana agama yang membiarkan atau membenarkan timbang tara yang tidak adil,” katanya berucap pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 hari ini.

Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa (dua dari kanan) merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 hari ini.

Kira-kira 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya.

Majlis tersebut disifatkan sebagai persidangan antarabangsa ketua-ketua agama paling penting dianjurkan oleh benua Asia.

Turut hadir Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Menerusi ucapannya juga, Perdana Menteri memberikan contoh yang mana Malaysia sebuah negara majmuk pelbagai agama dengan kira-kira 60 peratus rakyatnya beragama Islam.

Jelasnya, Islam ialah agama Persekutuan, tetapi dalam masa sama pemimpin negara komited memastikan setiap rakyat Malaysia tidak kira Muslim, Kristian, Buddha dan Hindu mempunyai hak di negara ini.

“Di banyak-banyak negara yang mana (sesuatu) agama itu minoriti, ia ditindas, dilayan seperti rakyat kelas kedua, hak mereka dinafikan, malah diseksa.

“Jadi, ini mesej bahawa kita di Malaysia walaupun kami berpegang kepada prinsip Islam, kami mahukan keadilan kepada semua rakyat di negara ini.

“Mesej ini jelas dan terang kepada rakan-rakan di sini, di luar negara serta timur dan barat.

“Ini mesti dihormati tidak kira orang Islam itu majoriti di Malaysia atau minoriti di negara lain,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Tumbang ragut nyawa, 17 pemilik kenderaan berduka