Tumbang ragut nyawa, 17 pemilik kenderaan berduka

Kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di pusat bandar raya petang ini meragut nyawa seorang lelaki berusia 47 tahun.

Pokok besar yang secara tiba-tiba menyembah bumi berhadapan Hotel Concorde itu turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun cedera.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kejadian jam 2.19 petang.

Menurutnya, tiga jentera bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Jalan Tun Razak dan Sentul turut dihantar ke lokasi membabitkan kekuatan keseluruhan seramai 27 pegawai serta anggota.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati terdapat pokok besar tumbang di atas jalan raya dan sebanyak 17 kenderaan terbabit.

“Landasan monorel di sebelah atas turut dihalang dengan dahan pokok dan beberapa fasiliti awam termasuk perhentian bas rosak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, operasi menyelamat segera dijalankan dan dua mangsa terbabit berjaya dikeluarkan oleh anggota.

Sementara itu,tular sejumlah klip video menunjukkan kerosakan teruk kenderaan-kenderaan yang dihempap pokok tersebut.

Satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tersebar di media sosial pula memaparkan detik-detik pohon berdahan besar itu tumbang mulai pukul 2.16 petang.

BACA JUGA Malaysia tak pernah benar kapal Israel berlabuh kecuali masa zaman PM iniā€¦