Melonjak tinggi buat pertama kali dalam tempoh dua tahun, ini bukti kukuhnya ekonomi Malaysia

Bursa Malaysia mencatatkan rekod baharu dengan permodalan pasaran ekuiti melebihi RM2 trillion hari ini.

Menerusi hantaran di platform X, bursa tempatan itu menjelaskan indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut melonjak melepasi 1,600 mata pada pagi hari ini, buat pertama kali dalam tempoh dua tahun.

“Indikator di atas adalah bukti kekukuhan pasaran kita dan ekonomi Malaysia.

“Berdasarkan lebih 1,000 syarikat senaraian awam (jumlah tertinggi di rantau ASEAN) kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” menurut Bursa Malaysia.

Lapor Bernama, FBM KLCI pada 5 petang meningkat 0.52 peratus atau 8.29 mata kepada 1,605.68 daripada 1,597.39 ketika ditutup pada Isnin, sekali gus menjadi paras tertinggi bagi indeks utama sejak April 2022.

Indeks barometer yang dibuka 3.46 mata lebih tinggi kepada 1,600.85 itu bergerak di antara 1,600.66 pada sesi awal dengan setinggi 1,610.32 pada sesi petang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM9.84 dan RM4.21, CIMB menambah enam sen kepada RM6.81, Tenaga Nasional melonjak 10 sen kepada RM12.48, dan IHH Healthcare juga menokok satu sen kepada RM6.31.

BACA JUGA Di hadapan 2,000 ulama dan cendekiawan, ucapan PMX ini mengesankan