Padah timbulkan kebencian kepada pemain bola sepak, pemilik akaun Facebook diburu

Padah menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan individu tertentu yang berkaitan, pemilik akaun Facebook yang membuat hantaran bersifat serangan peribadi itu sedang diburu polis.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akaun media sosial dan hantaran terbabit dikesan banyak mutakhir ini dan dipercayai bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap individu disasarkan.

“Perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menumbuhkan rasa kebencian yang berlebihan.

“Ada sampai dalam kepada laporan kita (Kementerian Dalam Negeri) kewujudan beberapa laman sosial dalam bentuk Facebook dan sebagainya mensasarkan beberapa individu pemain-pemain bola kebangsaan.

“Yang mana isi kandungan posting (hantaran) itu cuma bertujuan untuk membangkitkan kebencian sahaja, menghina, memperlekeh,” katanya.

Saifuddin berkata demikian selepas sesi `townhall’ pada Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah sempena pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pengendali akaun terbabit didapati mengulas setiap gerak geri menerusi sejumlah hantaran di Facebook.

Malah, turut diulas aktiviti dan kehidupan sosial pemain bola sepak berkenaan dengan komen menzahirkan kebencian.

“Semua gerak-gerinya itu diulas, cara dia merayakan kemenangan, jaringan, itu pun diulas. Cara dia bersosial, dia berkawan dengan siapa.

“Setiap inci pergerakan itu diberi ulasan yang kesimpulan akhir pada posting pemilik sosial media seperti ini adalah untuk membibitkan kebencian,” kata Saifuddin lagi.

BACA JUGA Restoran milik tauke Melayu ini teruk dikecam selepas tinggalkan komen ‘type c’