Paling kurang 10 hari Faisal Halim akan berada di ICU

Tonggak utama Selangor FC, Faisal Halim difahamkan akan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sekurangnya-kurangnya 10 hari.

Itu kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Menurutnya, beliau sempat berjumpa dengan Faisal sebelum pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan kedua, petang tadi.

“Saya baru sahaja melawat Faisal. Alhamdulillah, dia sedar, tapi dia dijadualkan untuk jalani pembedahan kedua kira-kira jam 5.30 petang selepas pembedahan pertama dua hari lalu.

“Jadi, kita doakan supaya pembedahan kedua akan berjalan lancar. Saya sempat jumpa Faisal, dia kata doakan dia supaya dia cepat sembuh dan kirim salam kepada kawan-kawan.

“Saya fikir akan ada lagi pembedahan yang seterusnya.

“Benda ini makan masa, saya difahamkan sekurangnya-kurangnya 10 hari Faisal akan berada di ICU (Unit Rawatan Rapi),” katanya, dipetik BH.

Hampir keseluruhan tubuh Faisal dilapor dibalut dengan kecederaan paling teruk dialami di bahagian tangan kiri.

Kelmarin, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid sulfurik oleh seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Susulan itu, suspek merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an diberkas di Pandan Indah, Ampang.

BACA JUGA Siapa sebenarnya ‘membuncit’ dengan RM277 bilion dalam tempoh lima tahun ini?