Siapa sebenarnya ‘membuncit’ dengan RM277 bilion dalam tempoh lima tahun ini?
Sebanyak RM277 bilion bocor dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2023 seperti didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jumlah ketirisan itu adalah angka yang menggemparkan, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu membuktikan gejala rasuah ‘membengkak’ di negara ini.
Menurutnya, jumlah sebesar itu sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.
Ia termasuklah pembasmian kemiskinan, pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, serta membantu golongan yang memerlukan.
Sehubungan itu, Anwar menyeru semua pihak termasuk rakyat untuk berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan seperti SPRM untuk membanteras gejala tersebut.
“Isu ini tidak boleh dipandang ringan.
“Anda memerlukan kesungguhan, komitmen, dedikasi dan keberanian, serta memerlukan legislatif dan perundangan yang kuat untuk melindungi kita dari gejala rasuah.
“Dan paling penting anda perlu keberanian politik serta hala tuju yang jelas.
“Saya percaya, dengan kekuatan ini, tekad politik yang jelas, supaya semua tidak sanggup dan tidak bersedia untuk berkompromi dengan rasuah,” tegasnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, NACS melibatkan pelbagai agensi dan jabatan penguatkuasaan dengan tetap diterajui SPRM.
“Kita luncurkan agenda pembanterasan rasuah, yang tentu tonggaknya masih SPRM, tetapi yang terlibat ialah semua termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja, dan agensi-agensi lain yang harus memastikan negara ini beranjak daripada keterlanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras gejala rasuah,” ucapnya lagi.
NACS 2024-2028 akan menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dengan lebih memberi tumpuan terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.
Dalam masa sama, NACS menggariskan strategi-strategi penting yang tertumpu pada peningkatan integriti, ketelusan, dan kebertanggungjawaban merentas pelbagai sektor di Malaysia.
Ia merangkumi ahli politik, pentadbiran awam, perolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman; sektor swasta serta masyarakat.
BACA JUGA Malaysia tak pernah benar kapal Israel berlabuh kecuali masa zaman PM ini…