PRK KKB: Salah guna gambar Agong, Ramasamy dijel sebulan

Tindakan seorang lelaki dari Tanjong Rambutan yang menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen pilihan raya membawa padah apabila dia dihukum penjara sebulan di Mahkamah Sesyen.

Tertuduh P. Ramasamy, 66, semasa prosiding berkata dia tidak menyedari tindakannya membawa gambar Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan kerana niatnya hanya untuk memeriahkan suasana.

“Puan hakim, saya memohon ampun dan maaf, saya tidak menyedari penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai suatu kesalahan.

“Saya cuma mahu memeriahkan kempen pilihan raya di sini. Jadi, saya sekali lagi memohon ampun dan maaf,” katanya.

Dia kemudian dikenakan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu dituduh mempamerkan gambar Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Kesalahan tersebut dilakukan dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.

Menurut fakta kes, tertuduh melekatkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kedua-dua sisi dan belakang kenderaan tersebut selain memasang bendera Malaysia dan Negeri Johor.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya bagi pertuduhan tersebut.

BACA JUGA ‘Apa salah saya Datuk’, Hamidin cerita Faisal Halim menangis dianiaya orang