Saifuddin beri jaminan kepada pemain bola sepak

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis sedang menjalankan siasatan rapi untuk menangkap penjenayah yang mendalangi dua insiden serangan terhadap pemain bola sepak negara, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

“Seperti yang kita ketahui dalam kes Faisal, telah dikenal pasti (suspek) dan kita perlu berikan kepercayaan dan ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan tugas.

“Komitmen pasukan polis dengan seluruh keupayaan adalah kita akan lakukan apa sahaja untuk menangkap, mengesan dan menangkap si penyerang dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Kepada semua pemain bola sepak di negara ini, saya ulangi jaminan bahawa keadaan keselamatan dan keamanan seluruhnya adalah terjamin.

“Mereka patut tumpukan kepada karier mereka menjelang liga yang akan bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi `townhall’ pada Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah sempena pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Dalam masa sama, Saifuddin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi situasi sedia ada.

“Saya gesa supaya itu semua (hantaran kebencian) dihentikan kerana itu sangat tidak baik, sebab dunia bola sepak negara kita masih kecil.

“Keutamaan patutnya meningkatkan prestasi wujudkan keadaan kondusif naikkan ranking kita.

“Sukan yang sangat popular (bola sepak) tetapi dua insiden yang kebelakangan ini sangat menyedihkan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Padah timbulkan kebencian kepada pemain bola sepak, pemilik akaun Facebook diburu