Tiada aset kerajaan diguna, terpulang jika PN failkan petisyen

Penyelaras Kempen PH, Steven Sim menyangkal dakwaan bahawa Pakatan Harapan menggunakan aset kerajaan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu.

Pun begitu kata Steven, beliau tidak menghalang jika pembangkang berhasrat memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya jika Pang Sock Tao memenangi kerusi tersebut.

Ini kerana mana-mana parti mempunyai hak untuk berbuat demikian sekiranya beranggapan ada pihak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Itu hak masing-masing untuk melaporkan (tapi) dakwaan (PH guna aset kerajaan bagi tujuan kempen) tidak tepat. Saya datang dengan kenderaan sendiri.

“Saya sebagai Penyelaras Kempen PH (sahkan) kita tidak (guna aset kerajaan),” katanya kepada media ketika hadir program Mengingati YB Lee Kee Hiong malam tadi.

Terdahulu PN berkata akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi DUN Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana pihaknya mempunyai bukti berlakunya ‘penyaluran’ yang disifatkannya sebagai rasuah dilakukan, selain penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK ini.

PRK DUN Kuala Kubu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser

BACA JUGA Calon muda Perpaduan di KKB di mata MB Selangor