Alhamdulilah, Faisal kuat semangat tapi perlu…

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan bahawa Faisal Halim akan menjalani beberapa lagi pembedahan bagi memulihkan kelecuran dialaminya.

Beliau berkata, pembedahan ke atas pemain sayap Selangor FC atau dikenali sebagai Mickey, akan dilakukan secara berperingkat.

”Masih ada lagi pembedahan ketiga dan keempat dalam masa terdekat. Ia akan dilakukan berperingkat.

“Faisal juga masih dalam pengawasan rapi dan tiada pelawat dibenarkan kerana risau akan terdedah kepada jangkitan kuman,” katanya lapor Sinar Harian.

Berhubung perkembangan terkini pemenang anugerah gol tercantik Piala Asia itu, Shahril memaklumkan sesuatu yang positif selepas pemain itu menjalani pembedahan kedua semalam.

”Alhamdulillah, pembedahan kedua berlangsung selama tiga jam dan hasilnya saya dimaklumkan oleh pakar ia amat positif.

”Terima kasih doa semua rakyat Malaysia. Faisal juga sudah boleh makan dan perkara baik adalah dia sudah cuba membuat senaman ringan bola sepak.

“Ini petanda sangat baik semangatnya yang cukup kuat,” ujar beliau lagi.

Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, Faisal yang juga pemain skuad kebangsaan, dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, asid yang disimbah kepada Faisal adalah jenis asid sulfurik pekat

Pada 2 Mei lalu, pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.

Berdasarkan video yang tersebar dalam media sosial, Akhyar yang menyertai pasukan Terengganu FC (TFC) musim ini, kelihatan cedera dalam kejadian itu apabila dilihat memegang kepalanya di atas kerusi roda.

BACA JUGA Tegap, rendang pokok itu ketika kukuh kini tular