Ketua Perubatan Sukan FC dedah keadaan terbaru kulit badan Faisal Halim

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC (SFC), Dr Muhammad Hazwan Khair, memaklumkan kulit di bahagian badan Faisal Halim kini menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelum ini.

Untuk bahagian pertama ini, beliau berkata pakar bedah sudah membersihkan bahagian kulit dan kemudian mencucikannya.

“Dan kali kedua ini (pembedahan kedua) lebih positif dan sebab itu kita boleh masuk ke peringkat berikutnya (membuka balutan),” katanya dipetik BH.

Terdahulu, Pengerusi SFC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah meluangkan masa lebih setengah jam untuk menziarahi Faisal yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas selesai pembedahan kedua, malam tadi.

Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar pula optimis bahawa pemain yang pernah menerima anugerah gol tercantik Piala Asia itu, akan kembali ke arena bola sepak.

Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menzahirkan keyakinan itu selepas melihat semangat tinggi yang ditunjukkan Faisal meskipun sedang bertarung dengan kesakitan apabila mengalami lecur tahap empat.

Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, Faisal yang juga pemain skuad kebangsaan, dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, asid yang disimbah kepada Faisal adalah jenis asid sulfurik pekat.

BACA JUGA Tegap, rendang pokok itu ketika kukuh kini tular