Lelaki dakwa tahu semua konspirasi kes Faisal rupa-rupanya guna akaun palsu

Seorang lelaki menggunakan akaun Instagram Muhammad Imran Suresh mendakwa mempunyai maklumat dalang di sebalik kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak negara, Faisal Halim.

Dalam siri pendedahannya di IG, dia mendakwa telah dipanggil seseorang dan diminta untuk tutup mulut supaya tidak menyebarkan gambar si pelaku.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil membuat semakan ke atas Instagram tersebut, yang kemudian mendapati akaun itu adalah palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, individu berkenaan dilihat cuba mengganggu dan mencetuskan persepsi negatif berhubung kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak negara, Faisal Halim.

Shuhaily berkata, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pengendali atau pemilik pemilik akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

“Kita akan memantau semua akaun-akaun ini dengan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kita tidak boleh memberi ruang kecil untuk mereka ini ambil kesempatan untuk merosakkan keadaan,” katanya pada media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, tiada laporan diterima pihaknya terhadap mana-mana akaun media sosial yang membuat spekulasi.

“Jika ada laporan, kita akan siasat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara mengesahkan pemilik media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh sedang dikenal pasti PDRM berhubung kenyataan dikeluarkannya mengenai kejadian simbah asid itu.

Beliau berkata, individu berkenaan mendakwa mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.

Terdahulu, seorang pemilik laman sosial Instagram mendakwa dia dipanggil polis bagi membantu siasatan kes membabitkan Faisal.

Dia mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.

BACA JUGA Orang Kelantan di empat daerah ini perlu bertahan lagi, gelombang haba berterusan hingga Jumaat