Anwar arah noktahkan miskin tegar di Terengganu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi berkaitan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu.

Menurutnya, terdapat 1,663 keluarga sehingga 2 Mei yang masih berada dalam kelompok miskin tegar di negeri tersebut.

Menteri Kewangan berkenaan berkata demikian sempena kunjungan di negeri ditadbir Pas itu.

Dalam masa sama, Anwar mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri yang dihadiri Menteri Besar Terengganu serta Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir mewakili Kerajaan Persekutuan ialah Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha Negara serta pegawai-pegawai kanan lain.

“Perbincangan hari ini memberi fokus kepada pelbagai projek pembangunan penting merangkumi tebatan banjir, bekalan air, keterjaminan makanan, keselamatan di pintu masuk pusat pelancongan negeri dan kesejahteraan sosial.

“Saya juga menerima penerangan terkait isu kemiskinan tegar di Terengganu, di mana sehingga 2 Mei 2024 terdapat 1,663 keluarga masih berada dalam kelompok miskin tegar di negeri ini.

“Saya turut mengarahkan agensi terlibat untuk menyelaras gerak kerja bersama kerajaan negeri bagi menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Sehubungan itu, Anwar berharap agar semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Terengganu secara berkesan.

“Insya-Allah, projek-projek ini pastinya akan memberi kebaikan buat rakyat Terengganu keseluruhannya,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Projek bela nasib rakyat tidak akan ditangguh walau negeri pembangkang