Projek bela nasib rakyat tidak akan ditangguh walau negeri pembangkang

Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan projek berkaitan untuk kepentingan rakyat walaupun negeri yang ditadbir pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dibuktikan dengan pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terabai di negeri terbabit.

“Tapi saya nak tegaskan di sini tolonglah menolak sesetengah tohmahan bahawa kita tidak berikan pertimbangan (bantuan) walaupun kerajaan negeri itu dipimpin oleh parti yang lain (pembangkang).

“Betul ada sedikit perbezaan (ideologi) tetapi dalam soal program untuk rakyat dasar kita (dan) keputusan kita projek-projek untuk membela nasib rakyat kita tidak akan tangguh dan kita akan laksanakan untuk kepentingan rakyat.

“Saya maklumkan kepada Menteri Besar Terengganu (yang) Kerajaan Persekutuan tidak pernah tinggal atau meminggirkan Kerajaan negeri demi kepentingan rakyat,” katanya.

Anwar berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan perbelanjaan pembangunan hasil peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri mencecah RM7 bilion pada tahun ini.

Jelasnya, antara projek pembangunan itu merangkumi tebatan banjir, bekalan air, keterjaminan makanan, keselamatan di pintu masuk pusat pelancongan negeri dan kesejahteraan sosial.

“Kita juga baru luluskan tadi projek baik pulih hospital dan klinik baru di Besut,” katanya.

BACA JUGA ‘Perjuangan petani perlu diteruskan, ini tekad saya’