Belajar dari kisah saya, jangan undi pembangkang – MP Bersatu beritahu pengundi 

Seorang ahli Parlimen Bersatu yang awal tahun ini menyokong Kerajaan Perpaduan, menyeru pengundi untuk mengundi calon Pakatan Harapan, dengan berkongsi pengalaman pahit beliau sepanjang menjadi MP pembangkang.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi berkata, wakil rakyat pembangkang tidak boleh menyumbang peranan yang besar untuk kawasan kerana mereka tidak mempunyai dana.

Sama seperti apa yang berlaku terhadapnya, kata Zulkafperi, gaji beliau selaku ahli Parlimen juga habis dalam tempoh sesingkat satu minggu.

Kekurangan dana juga bererti beliau tidak dapat melayan permohonan menganjurkan program daripada rakyat kawasannya

Untuk rekod, pembangkang tidak mendapat peruntukan selama ini disebabkan Perikatan Nasional (PN) enggan berbincang dengan kerajaan – hanya baru-baru ini sahaja pertemuan dilakukan.

“Selama setahun saya dapat kecaman rakyat Tanjong Karang, kata ahli Parlimen tak berfungsi sebagai ahli Parlimen, kenapa ahli Parlimen tak boleh lakukan apa-apa,” katanya seperti dilapor FMT dalam satu ceramah di Ampang Pecah semalam.

“Kalau kita pilih di sini Adun pembangkang, saya rasa tak ke mana. Tak jauh daripada apa yang pernah saya alami sebelum ini,” katanya.

Zulkafperi salah seorang daripada enam MP Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan)

Semua wakil rakyat terbabit menyatakan peralihan sokongan itu demi memenuhi keperluan kawasan masing-masing, walaupun tetap setia kepada Bersatu.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia, dan seorang calon bebas.

PH akan mempertahankan kerusi itu menerusi Pang Sock Tao daripada DAP, dicabar oleh Khairul Azhari Saut daripada Bersatu, Hafizah Zainuddin dari PRM, dan Nyau Ke Xin.

BACA JUGA Akhirnya padi akan ditanam guna kaedah baru, paling penting tahan kemarau