Dah menuai hasil kedua, tak lagi terlalu bergantung bekalan import makanan ayam

Selangor membuktikan mampu menghasilkan tanaman jagung bijian bertujuan mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan ayam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bermula Februari lalu, kerajaan negeri mula menuai hasil kedua projek jagung bijirin berkualiti tinggi yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Beliau berkata, hasil itu memenuhi permintaan penternak kecil dan pemain industri memandangkan harganya lebih rendah berbanding import.

”Ini adalah kejayaan fasa pertama meliputi kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar.

”Setiap kitaran meliputi empat fasa iaitu fasa pembersihan dan pembinaan infra, fasa penanaman, fasa penjagaan dan pembesaran pokok, dan akhir sekali fasa tuaian.

”Projek ini bertujuan mengurangkan kebergantungan import makanan ayam sekali gus mengurangkan atau menstabilkan harga ayam negeri Selangor,” maklum beliau dalam kenyataan di Facebook rasmi hari ini.

Menurut Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, pusat pengumpulan jagung bijirin juga akan dibuka di negeri berkenaan selepas ini.

”Dengan kapasiti simpanan 200 tan jagung bijirin, insya-Allah selepas ini pusat pengumpulan jagung bijirin akan dibuka pula di Selangor,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Adik korban pokok tumbang rupanya kerja dengan JKM, apa kata menteri?